Friday, November 16, 2012

DUA KALI CINTA, 9

BAB 9

Tepat pukul 9 malam, Sarah sudah terpacak di bilik gerakan Kelab Xpolarasi Media yang kebanyakannya disertai oleh pengamal media cetak dan elektronik serta beberapa individu luar yang kebanyakannya terlibat secara langsung dengan organisasi media seperti pemasaran, bahagian iklan dan pegawai perhubungan awam.

Sarah mengerling jam di tangannya, sudah menunjukkan ke angka 9.05 malam namun suasana bilik gerakan masih lagi sunyi sepi. Dia melangkah masuk dengan penuh berhati-hati sambil meninjau sekeliling.

Bukan apa, kadang kala ada sahaja trick nak menyakat orang dirancang oleh rakan-rakan yang lain dan dia juga pernah di sergah dari belakang oleh salah seorang rakannya yang memakai kostum seperti hantu.

Nasib tak pengsan Sarah dibuatnya. Namun jika diukur kadar denyutan jantungnya, mahu tercabut spring alat pengukur kerana dia sangat takut waktu itu. Terkejut dan tergamam!.

Kali ini dia perlu berhati-hati agar perkara yang sama tidak berulang kembali. Sementara menunggu kehadiran yang lain, Sarah mengambil peluang membaca majalah yang baru dibelinya tadi.

Baru sahaja memasuki helaian ke dua, tiba-tiba suasana yang terang benderang bertukar gelap gelita. Sarah sudah kaget, dia sememangnya tidak suka berada di tempat yang gelap kerana dia fobia pada kegelapan.

"Manalah pula perginya handset ni," gumam Sarah sendiri sambil tangannya menyelongkar isi perut beg tangan berwarna hitam itu. Nafasnya sudah turun naik, dia sudah menggelabah seperti mahu menangis.

Jika rumah sewanya black out, Mimi akan segera mendapatkannya dengan membawa lilin bagi menerangi ruangan sementara menunggu elektrik. Malah Mimi juga tahu, Sarah tidak akan berganjak ke mana-mana kerana sangat takut.

Kalau waktu black out tu dia ada kat dapur, memang sampai sudah dia diam di situ sehinggalah ada orang datang, pimpin tangan dia dan bagi lilin padanya. Waktu sebegini, dia seperti mati akal dan otaknya tidak mampu berfikir.

Lama mencari, akhirnya cahaya daripada telefon menandakan ada panggilan masuk seakan memberi nafas kepada Sarah. Dia mengeluarkan objek empat segi itu dan menekan punat hijau tanpa melihat pemanggil.

"Mimi, tolong aku, aku takut, bilik ni tiba-tiba black out. Gelap sangat ni," ujar Sarah sambil menahan takut dan tangis yang sangat menebal dalam dirinya.

Namun hanya kedengaran hembusan nafas daripada pemanggil tersebut. Sarah yang ketakutan itu sedikit berang apabila "Mimi' diam membatu.

"Mimi, aku takut ni," usai sahaja ayat itu diungkap, terhambur sudah air matanya. Dalam esak tangis itu dia berkali-kali merayu agar 'Mimi' menolongnya.

"Cik Sarah kat mana?," Sarah tergamam. Lain macam pula suara si Mimi. Garau semacam saja. Dia terus melihat nama yang tertera di skirn telefonnya namun hanya nombor telefon sahaja yang tertera.

"Saya ni, Firul," ujar pemanggil berkenaan mungkin faham dengan kebisuan Sarah.

"Encik, saya takut," ungkapan pendek. Namun sedu-sedan itu sudah cukup menunjukkan betapa wanita itu berada dalam ketakutan.


FIRUL membetulkan duduknya di kerusi urut ogawa sambil melayan perasaan menontot drama TV. Teman serumahnya yang terkenal dengan nama jolokan Eroy leka memetik gitar sambil mengalun melodi syahdu.

Tengah frust dengan aweklah tu si Eroy ni. Dari tadi asyik mengulang lagu yang sama sampai naik muak dia mendengarnya.

Tanganya mencapai telefon bimbit yang diletak di atas meja kecil sebelah kerusi urut itu. Tangannya ligat mencari nama Sarah di dalam list phone book.

Tiba-tiba teringatkan Sarah Arisha. Kacau minah tu malam ni best jugak, getus hati Firul riang. Punat hijau telefonnya ditekan sambil hati berdoa semoga Sarah menjawab panggilannya.

Namun, dia terkesima apabila mendengar tangisan halus Sarah sambil berulang-ulang menyebut nama Mimi dan dia takut. Hati lelakinya berdegup kencang.

Bahaya bagaimanakah yang dihadapi oleh wanita itu sehinggakan dia menangis teresak-esak. Dia terus bangun tanpa sempat menghabiskan urutan.

"Cik Sarah kat mana?" ujarnya sambil menuju ke bilik untuk menyalin pakaian. Tingkah lakunya diperhatikan Eroy dengan sedikit kehairanan.

Tidak sampai lima minit, Firul keluar dari bilik bujangnya dengan mengengam segugus kunci. Hasrul terus berhenti menyanyi namun gitar masih kekal ditangan.

"Kau ni kenapa? Kelam kabut je aku tengok. Nak keluar dating ke apa?" Soal Eroy yang dari tadi membuang pandangannya ke arah Firul yang berpakaian kemas itu biarpun hanya memakai jeans dan baju t tanpa kolar.

"Aku nak jumpa kawan. Aku dah lambat ni," Firul terus meninggal teman serumahnya itu. Esak tangis Sarah masih terngiang-ngiang di cuping telinganya.

Wanita itu benar-benar dalam ketakutan. Cepat Firul, tolong dia, hati lelaki itu terus membentak.

Alamat yang diucapkan Sarah dimasukkan ke dalam carian GPS. Sebaik sahaja alat tersebut membuat carian, Firul terus menekan pedal minyak menyusuri jalan membelah kesunyian malam demi wanita yang bernama Sarah Arisha.

"Sarah, tunggu saya," ucapnya perlahan sambil menambah kelajuan. Jalan sedikit lengan membantu Firul untuk sampai lebih awal daripada kiraan alat GPS.

Suasana persekitaran di lot rumah kedai tersebut sunyi sepi. Mungkin bekalan elektrik yang terputus itu menyebabkan beberapa kedai yang masih beroperasi menutup premis perniagaan mereka lebih awal.

Benar, suasana di kawasan tersebut sungguh gelap. Hanya sesekali ia disimbahi lampu daripada beberapa kereta yang lalu lalang di situ.

Pintu sisi rumah kedai yang sama dengan alamat diberikan Sarah ditolak ganas. Tangga menuju ke tingkat atas didaki laju sambil bertemankan dua buah lampu suluh di tangannya.

Dari luar sudah kedengaran esak tangis yang pastinya milik Sarah. Pintu kaca ditolak laju, terus sahaja dia menghalakan lampu suluh ke kawasan sekitar mencari kelibat Sarah.

Sebaik sahaja cahaya lampu suluh itu singgah di penjuru bilik, dia terkesima melihat susuk seseorang dalam keadaan memeluk lutut. Sesekali bahunya kelihatan terhincut-hincut akibat menangis.

"Cik Sarah," Sapanya perlahan sambil memegang lembut bahu Sarah. Terus sahaja wanita itu mengangkat muka.

"Encik, tolong saya," Firul tergamam apabila Sarah terus menghamburkan tangisan tanpa henti seperti melepaskan beban di dada.

Biarpun hanya bertemankan lampu suluh, Firul dapat melihat dengan jelas, hidung dan mata wanita itu sudah mulai merah akibat menangis terlalu lama.

"Sudah, jangan menangis lagi, saya kan ada," pujuk Firul perlahan sambil menepuk perlahan bahu Sarah. Dia kemudian menghulurkan tangan kepada wanita itu supaya bangun.

Sarah menyambut huluran tangan Firul. Dia yang masih dengan sisa tangisan terus menghentikan sendunya apabila jari jemari Firul singgah di pipinya untuk mengesat air mata.

Pandangannya jatuh kepada wajah Firul. Terasa seperti tenang sebaik sahaja matanya singgah di raut wajah yang sedang tersenyum kepadanya. Tanpa sedar dia mengemaskan gengamannya di tangan lelaki itu.

Dia terus membuntuti setiap langkah Firul biarpun lelaki itu terlebih dahulu membekalkan dia dengan lampu suluh sehinggalah keluar dari premis berkenaan.

"Terima kasih encik. Maaf menyusahkan encik malam-malam ni. Saya ingat yang call tadi kawan saya," ucap Sarah menutup malu sebaik menyedari tangan mereka masih bertaut.

Usai pegangan tangan itu terurai, ada tawa terbit di bibir Firul. Muka Sarah yang sememeh itu dipandang sekali lagi. Wanita ini bukan sahaja cemerkap, malah mudah menangis. Namun Sarah mempunyai sisi lain yang masih disembunyikan.

Sarah memegang pipi sebaik menyedari Firul masih memandangnya. Lama mereka berkeadaan begitu sehinggalah muncul seseorang menyelit dalam drama bisu itu.

"Korang buat apa kat sini? Eh Sarah, tengok muka kau je aku baru teringat yang meeting hari ini batal, postpond minggu depan," ucapan Azrin ternyata membakar hati Sarah.

"Kepala hotak korang," Sarah terus menjerit dan seraya itu bahu dan lengan Azrin menerima pukulan demi pukulan daripadanya.

Sebentar tadi, Sarah seorang yang sangat takut namun kini, dia seperti seorang yang menyimpan amarah yang mendalam.

Firul hanya ketawa melihat Sarah dan Azrin yang sudah berkejaran mengelilinginya. Sesekali penampar Sarah singgah di bahunya juga. Perit juga pukulan si Sarah ni.

Hilang terus tangisan, yang muncul kini pekikan, jeritan dan ketawa nyaring antara mereka bertiga. Wanita itu ternyata mampu membuatkan dia terus-terusan tertawa dan tersenyum.

Habis

No comments:

Post a Comment