Monday, November 12, 2012

DUA KALI CINTA, 8


BAB 8

"Awak, jomlah masuk kuiz kpop tu. Semua orang masuk, saya nak jugak uji kepakaran," Sarah memujuk Safwan sambil menarik hujung bajunya.

Safwan menepis lembut tanda tidak termakan dengan pujukan si bam-bamnya itu. Biarpun begitu, Sarah tetap berusaha, kali ini dia buat muka hampa sambil menuncungkan bibir dan kaki menguis permaidani Hotel Swan yang terbentang luas itu.

"Awak tak kesian kat saya ya?. Saya bukan suruh awak pergi berperang, saya minta awak temankan saya masuk kuiz itu saja. Kalau acara individu, saya tak minta tolong awaklah," Kali ini Sarah bersuara antara dengar dan tidak sahaja.

Sarah mendengar dengusan halus terbit di bibir Safwan. Macam nak berjaya sahaja taktik merajuk ni.

"Yalah. Jom saya temankan awak. Saya temankan je kan? Semua soalan awak jawabkan?," Soal Safwan bertalu-talu. Sarah apa lagi mengangguk kepala berkali-kali tanpa henti.

Ada lima pasangan yang masuk kuiz kpop sempena Malam Media anjuran Syarikat Starlight. Sarah dan Safwan peserta yang kelima. Kawan mereka daripada media cetak dan elektonik yang lain pun turut serta. Berdebar juga hati ingin menjawab soalan.

Walaupun Sarah boleh dikategorikan sebagai peminat drama Korea tetapi dia ada masalah dalam mengingat nama pelakon lelaki mahupun wanita baik pelakon baru mahupun lama. Pencabar terdekat mereka ialah kumpulan Miza dan Riqki sebab dua-dua tu peminat fanatik muzik dan drama Korea.

Tetapi tidak salah cuba nasibkan. Sarah memandang Safwan sekilas. Lelaki itu angkat kening dan merenung tajam ke arahnya. Proteslah tu. Kata setuju tapi tetap protes dalam diam. Macamlah orang tak tau.

Terdapat tiga kategori iaitu kdrama, kmuzik dan kfood. Waktu itu Sarah yakin dalam kdrama sahaja. Lagi dua kategori dia goyah. Nak mengharap si Safwan ni memang telungkuplah. Dia bukan minat pun. Tukang teman pergi beli cd cerita Korea bolehlah.

"Semua peserta bersedia. Untuk kategori kdrama, lihat video ini dan sila nyatakan tajuk drama yang dipaparkan. Anda semua mempunyai 30 saat untuk menjawab setiap soalan," pengumuman daripada juruacara majlis membuatkan Sarah semakin gementar.

"Kita masuk kuiz je bukan pergi berperang. Tak payahlah nak menggelabah tak tentu pasal," ujar Safwan sambil meletakkan tangan di buzer yang ditetapkan untuk setiap kumpulan.

Sarah mengerling ke arahnya sambil mencubit lengan lelaki itu. Dia mengaduh perlahan.

Kali ini Sarah menghadiahkan Safwan dengan senyuman paling lebar, mohon simpati agar dia bertahan untuk seketika.

"Kita mulakan dengan video pertama, sila beri perhatian para peserta semua," Mata semua peserta terarah kepada skrin besar di sebelah pentas.

Macam kenal je drama ini. Otak Sarah terus membidik tiap plot pendek yang dipaparkan. La..mana boleh lupa, drama tersebut merupakan antara drama kegemarannya. Drama yang dia akan tonton tiap kali hati tengah bersedih.

Dia terus menghentak tangan di buzer tetapi dia terlupa yang tangan Safwan sudah ada di situ.

"Sakitlah awak," ucapnya pendek. Sarah garu dahi. Ucapan maaf terus dituturkan kepadanya.

"I'm Sorry, I Love You," Sarah bersuara yakin. Yey! jawapan betul, 10 markah untuk kumpulan kami. Sarah ketawa riang. Suka sangat padahal baru soalan pertama. motivasi itu penting.

Perang buzer bermula. Silih berganti benda bulat berwarna merah itu ditekan. Kejap meja Sarah, kejap meja Miza, kejap meja Sarah, sat lagi meja Miza, dah macam Sarah dan Miza sahaja yang masuk kuiz itu.

Kategori pertama dan kedua sudah berlalu dan kumpulan Safwan dan Sarah sekarang mendahului dengan 20 markah daripada kumpulan Miza dan Riqki. Acara penentu sekarang kfood.

Bulat mata Sarah memandang dua mangkuk besar kimchi yang terdapat di atas dua buah meja. Dia garu dahi lagi. Bagi cabaran ini, peserta lelaki perlu menghabiskan makanan tradisional Korea itu dalam masa yang paling pantas.

Masalah sekarang, peserta lelaki kumpulan dia iaitu Safwan ni tak makan sayur. Semua jenis sayur dia tak makan, kalau dia termakan sekalipun dia akan muntahkan balik. Dia memang tidak suka sayur.

Safwan sudah menelan air liur dua tiga kali. Jika ditanya saat itu, sememangnya keinginan untuk menang bagi pihak Sarah sangat tinggi. Tambahan pula melihat hadiahnya. Pakej pelancongan ke Korea untuk dua orang selama lima hari empat malam, lumayankan hadiahnya.

Dengan kondisi Safwan yang sebegitu, Sarah tahu dia terpaksa mengucapkan bye-bye pada hadiah tersebut. Melepaslah jawabnya. Barangkali tiada rezeki mereka. Dia mula mengeluh perlahan.

"Peserta lelaki, sila ambil tempat masing-masing," pengumuman juru acara yang sama mematikan lamunan Sarah. Dia sedikit terpempan apabila Safwan melangkah setapak demi setapak ke arah meja itu.

Ishk, tak pasal-pasal dia muntah kat sini, lagi malukan. Sarah, takda rezeki kau nak menang malam ni, gumamnya sendirian.

Sarah menarik hujung lengan baju kemeja Safwan, dia menoleh ke arah Sarah dengan muka terkejut. Waktu itu Sarah sudah mengeleng ke arahnya supaya menarik diri daripada pertandingan tersebut.

Dia berkeras, pegangan Sarah diurai lembut sambil menghadiahkan senyuman yang sukar untuk ditafsirkan. Biar betul Safwan ni. Tengok timbunan kimchi tu boleh pitam si Safwan ni nak habiskan.

Riqki sudah menyingsing lengan bajunya. Dia menunjukkan simbol ibu jari ke bawah kepada Safwan. Si safwan itu pula menghadiahkan jegilan mata bulatnya kepada Riqki.

"Kita mulakan sekarang," wisel ditiup kuat. Riqki dengan gelojohnya memasukkan segenggam kimchi ke dalam mulutnya, begitu juga dengan Safwan.

Sarah semakin gusar apabila melihat mata Safwan sekejap besar sekejap kecil sambil berusaha menelan sayur kubis panjang berwarna merah itu.

Tangan kirinya pula sedang ligat mengurut dada, tangan kanannya pula menekup mulut. Dalam posisi membongkok itu Sarah dapat lihat wajah ketat Safwan berusaha memamah setiap inci sayur yang ada di dalam mulutnya.

Riqki sudah masuk suapan kedua tetapi Safwan masih berusaha menelan suapan pertamanya. Tangan kirinya semakin laju menumbuk dada. Sarah semakin gelisah, rasa bersalah menyerbu jiwa.

Tanpa berfikir panjang, Sarah berlari anak ke arah Safwan, berdiri di hadapannya dan memandang wajahnya, ada sebening air jernih di tubir matanya, itu tanda dia berusaha untuk menahan diri daripada muntah.

Sarah angkat tangan sambil menjerit," Kami tarik diri,". Safwan terus berhenti mengunyah. Penonton yang menyaksikan pertandingan tersebut mengeluh. Si Miza sudah berlari mendapatkan Riqki sambil bersorak riang.

Safwan pula terus berlari ke belakang pentas. Sarah tidak pula mengekorinya kerana tahu dia pasti ke tandas. Nak muntahlah tu apa lagi. Sarah gelak sendiri.

Pakej melancong ke Korea itu menjadi milik Miza dan Riqki. Mereka hanya menang ipad2. Tidak mengapa, itu pun rezeki juga. Eh, ini bukan ayat penyedap hati tetapi ayat bersyukur sebab tidak pulang dengan tangan kosong.

"Sorry sebab saya, kita kalah dan awak terlepas hadiah pakej pelancongan tu," bisik Safwan semasa mereka sama-sama turun daripada pentas. Sarah berpaling sejenak ke arahnya dan tersenyum.

"Takpalah awak. Menang ipad ni pun sudah memadaikan. Sekurang-kuranya kita mencuba bukan terus menyerah kalahkan. Lagipun saya tak nak satu dewan ni tahu rahsia awak yang tak makan sayur tu," ujar Sarah menyakinkan Safwan tentang kekalahan mereka.

Mereka ketawa bersama. Dia berbisik lagi ke telinga Sarah. Kali ini tawa wanita itu semakin menggila.

Sudahlah kalah, ada hati nak cakap sarangheyo kat aku. Sarah sempat menjelir lidah ke arahnya. Safwan cekak pinggang lalu ketawa.

Semasa ingin mengambil minuman panas buat dia dan Safwan, Firul menghampirinya sambil menghulurkan sepiring buah-buahan yang diambil di meja sebelah.

Sarah menggeleng tanda tidak mahu namun tetap mengucapkan terima kasih. Soal tertib dan adab sopan perlu dijaga biarpun ada sedikit kurang selesa saat itu.

"Awak memang minat tengok drama Korea kan. Semua soalan awak boleh jawab?" soal Firul membuka bicara.

Sarah sekadar mengangguk tanpa sedikit pun berpaling kepadanya. Firul tanpa sedar mendekatkan dirinya dengan Sarah untuk mengambil cawan yang terletak sedikit kedepan daripada kedudukan mereka.

Bau minyak wanginya menusuk ke rongga hidung Sarah. Lantas jantungnya berdegup kencang. Dia pantas meletakkan tangan di dada sambil memejam mata, menikmati wangian yang indah itu.

"Woit, ambil air ke masak air ni?" Sergahan Safwan mengejutkan Sarah dari terus terbuai dengan kenangan lama.

"Awak, jom balik. Saya penatlah," bicaranya pendek sambil menghayunkan kaki ke arah meja untuk mengambil beg.

Apahal si Sarah ni, sejak dua menjak ni perangai semakin pelik. Tengah gelak-gelak, dia boleh termenung, getus hati Safwan. Sarah dilihat sudah menyandang beg kameranya.

"Maaflah Encik Firul. Tak sempat nak berbual panjang nak kena balik dah ni. Lagipun saya datang dengan Sarah," ucapnya sebelum mengundur diri. Namun kakinya terhenti apabila Firul bertanyakan sesuatu.

"Kawan awak tu kenapa. Hari tu saya jumpa elok saja?,"

"Entahlah Encik Firul. Sekarang ni perangai dia lain macam sikit. Mood dia dah macam cuaca, kejap hujan, kejap panas, kejap ribut. Bila ditanya, dia diam saja.

"Tapi saya tahu ada benda yang dia sembunyikan. Eh, saya gerak dululah ya, Tu dah cekak pinggang dah tu. Kalau lambat nanti, boleh kena tinggal saya," ucap Safwan sambil menunding jari ke arah Sarah yang sudah sedia di pintu masuk dewan tersebut.

Bagi Sarah, biarpun kita ada tujuh orang wajahnya sama dengan kita, ia tidak bermakna ia serupa serba serbi. Sarah mengeluh lagi.

Habis

No comments:

Post a Comment