Sunday, October 21, 2012

DUA KALI CINTA, 6

BAB 6

MIMI  sedikit terkejut melihat bilik Sarah yang berselerak dengan kertas dan kepingan gambar yang diatur satu persatu di atas lantai.

Dia memandang sekilas pada sahabatnya yang ketika itu sedang menyandar di bahagian penjuru katil. Di tangan wanita itu terdapat sekeping gambar dan poskad yang sedikit renyuk.

Kelihatan Sarah waktu itu seperti kebingungan. Tiba-tiba terbit rasa simpati terhadap si bulatnya itu. Tanpa berlengah, dia terus mengambil tempat di sini Sarah.

Matanya di tala ke muka Sarah yang sedikit basah. Tahulah dia bahawa, insan yang ada di depannya itu sedang menanggung rindu yang tidak berkesudahan itu.

Hatinya dipagut hiba. Dia terus menarik Sarah dalam dakapannya, Dan tanpa perlu diduga, Sarah terus menghamburkan tangisannya sambil diiringi sedu yang panjang.

"Menangislah jika itu cara terbaik untuk kau hilangkan sakit di hati kau. Aku sentiasa ada untuk kau," Mimi mengusap lembut belakang badan Sarah yang masih terhincut-hincut melayan tangis.

"Aku tak tahu kenapa aku tak boleh lupakan dia. Dia tinggalkan aku tanpa sebarang pesan. Dia tinggalkan aku tanpa ucap selamat tinggal. Aku sendiri tak tahu kat mana salah aku.

"Dan hari ini, entah kenapa, bayangan dia silih berganti dalam memori aku. Sakit sungguh dugaan ini Mimi," hiba Sarah semakin menjadi-jadi. Malah tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti.

"Aku tahu apa yang kau rasa sebab aku pun ada situasi macam kau. Tapi aku nak kau tahu yang aku kuat disebabkan semangat kental kau. Aku kuat sebab aku ada kau.

"Dan aku nak kau kuat sebab kau ada aku. Kita sama-sama hadapi dugaan ini dan percayalah, Allah itu tidak menduga hambaNya dengan perkara di luar kemampuan kita," nasihat Mimi bersungguh-sungguh.

Wajah Sarah yang lenjun dengan air mata itu ditatap sekali lagi. Tangannya ligat menyeka sisa-sisa air jernih yang masih menuruni pipi wanita itu.

Dia sebenarnya ingin sama menangis dek kerana hiba selepas mendengar luahan hati Sarah. Namun sekiranya dia menangis sama, Sarah mungkin berterusan dengan tangisnya.

Mimi menghela nafas perlahan. Digengam tangan Sarah dengan erat kemudian dengan senyuman yang diukir mekar dibibir, dia menjentik dahi sahabatnya itu.

"Sakitlah," Sarah terus menggosok dahinya sedikit merah itu. Sempat juga dia menjeling ke arah Mimi yang semakin giat ketawa.

"Cukup sesi curhat untuk kali ini. Kita tutup sesi air mata ini dengan semangat juang untuk mengorak langkah dengan lebih bersemangat," Mimi bingkas bangun. Tubuh Sarah ditarik supaya berdiri bersamanya.

"Aku rasa kau kena diet sikitlah. Makin bulat pula aku tengok," Sarah menjegilkankan sedikit matanya selepas mendengar kata-kata Mimi. Dia merengus sambil berjalan menghentak kaki menuju ke ruang tamu.

"Ha sentap. Ni bilik yang dah macam tongkang pecah ni sapa nak kemas?. Pandai buat sepah, time nak kemas je hilang. Baik kau kemas sekarang sebelum aku bakar semua kenangan kau ni," Ugut Mimi apabila melihat Sarah sudah membelek koleksi cd drama korea yang tersusun di penjuru kanan dinding di ruang tamu rumah tiga bilik itu.

Sebaik sahaja mendengar ugutan Mimi, Sarah bingkas bangun dan berlari masuk semula ke dalam biliknya. Kepingan gambar, poskad dan surat lama itu dikumpulkan semula sebelum dimasukkan ke dalam kotak berbentuk hati berwarna merah berbintik putih yang sudah ditutupi debu tebal.

Sesekali dia merungut sendiri apabila melihat Mimi yang berdiri tegak bagaikan 'mem besar' yang sedang memantau tugas pembantu rumah membuat kerja.

"Tolonglah sekali takkan jadi penonton saja," pinta Sarah sambil tangannya ligat menyusun gambar satu persatu ke dalam album.

"Barang kau, bukan barang aku," terus Mimi berlari meninggalkan Sarah yang sesekali menenyeh hidungnya yang sedikit gatal dan sudah mula berair itu.

Ha...padan muka kau Sarah, dah tahu diri tu alah pada habuk, gatal tangan pergi selongkar stor cari kotak kenangan tu kenapa?. Alahai hidung...



JARUM jam dinding yang dipaku elok bersebelahan bingkai gambar dia dan Mimi sudah menginjak ke angka sembilan. Dia sudah melentukkan kepala beralaskan bantal kusyen mengadap skrin TV.

Mimi pula sudah sejam memerap di dalam biliknya. Mimi tu kalau tak baca novel, sure mengadap lap top tengah layan manga versi dalam talian. Kalau tidak ditegah, mahu sampai subuh baru dia tidur. Ralit sungguh dengan hobinya yang satu itu.

Baru sahaja matanya ingin lelap, telefon bimbitnya tiba-tiba sahaja bergetar sebelum lagu Venus, nyanyian kumpulan otai Korea, Shinhwa memecah sunyi.

"Nak apa call anak dara orang malam-malam ni?" Tanpa salam, Sarah terus menembak si pemanggil. Seperti selalu, hanya ketawa besar yang kedengaran.

"Cepat keluar. Saya ada suprise untuk awak ni," Safwan menutur bicara sambil keluar dari keretanya. Talian dimatikan. Dia menyandarkan tubuhnya di sisi Honda Civic hitam. Tidak sabar menanti kemunculan Sarah di hadapannya.

Dia mengukir sebaris senyuman apabila mengingatkan rajuk Sarah Arisha siang tadi. Tanpa sedar, perilakunya diperhatian Sarah dari dalam rumah.

Tudung hitam yang sedia tersangkut di kerusi makan disarung ke kepala. Baju sejuk berwarna putih milik Mimi yang ada di kerusi sama diambil dan disarungkan ke tubuhnya bagi menutup baju tidur tanpa lengan penuh dengan watak kartun doraemon itu.

Tanpa berlengah, dia membuka pagar grill dan menyarung selipar jepun berwarna biru sebelum menapak satu persatu menghala ke arah Safwan yang masih dengan senyumannya.

"Nak apa datang rumah orang malam-malam ni. Dah tu senyum tersengeh-sengeh. Tak makan ubat ke?" Bidas Sarah selepas Safwan yang leka dengan senyumannya seperti tidak menghiraukan kehadirannya di depan lelaki itu.

"Untuk awak," bungkusan ais krim sunday strawberi yang terletak elok di dalam plastik lutsinar berlogo McDonald itu dipandang dengan penuh minat.

"Nak ke tak nak?" Soalnya Safwan sekali lagi. Kali ini dia menayang-nayang plastik itu di depan mata Sarah. Dia tahu wanita di hadapannya itu kalah kepada ais krim tambahan pula sunday strawberi.

"Kalau taknak, saya habiskan. Sedapnya ais krim ni," goda Safwan lagi. Kali ini siap dengan bunyi 'slurp' lagi.

"Tak nak. Nanti gemuk," Rajuk Sarah sambil tarik muka. Tawa Safwan meledak kala itu.

"Eleh, merajuk konon. Janganlah merajuk dinda. Penat kanda beratur beli makanan kegemaran dinda ni," okey, Safwan sudah mula berpujangga bagai depan rumah anak dara malam-malam ni.

Sebelum ada mata yang mengintai di sebalik tirai kamar, baik aku perambat si Safwan ni balik. Tak fasal timbul gosip kurang enak di kawasan taman perumahan ini nanti.

"Ambillah dinda. Dinda yang comel lagi gebu," ucap Safwan sambil disulam dengan tawa yang panjang.

"Sengallah awak ni. Sudah, baliklah. Malam-malam buta datang rumah anak dara," Lantas plastik bertukar tangan. Sarah mula senyum tersipu-sipu. Terharu la konon ada orang bagi ais krim.

"Thanks awak," ucapnya lembut. Hilang rajuk di hatinya. Safwan hanya mengangguk.

"Jumpa awak esok kat office. Selamat malam bam-bam sayang. Assalamualaikum," ucap Safwan sebelum memasuki perut kereta. Enjin dihidupkan dan cermin tingkap diturunkan untuk memudahkan dia melambai Sarah.

Sarah mengetap bibir. Tak habis-habis panggil orang bam-bam. Macamlah dia tu kurus sangat.

Dia menghantar Safwan dengan pandangan yang sungguh gembira. Dalam suasana dingin itu, dia mengucap syukur kepada Yang Maha Esa kerana mengizinkan dia memiliki dua insan yang sentiasa ada di sisinya setiap masa.

Mimi, Safwan, aku beruntung ada kau orang. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Silanya di kemaskan di hadapan TV. Butang alat kawalan jauh ditekan satu persatu.

Oyeh, masa untuk kartun kegemarannya. Hagemaru sudah bersiaran. Indahnya malam ini. Layan kartun sambil makan ais krim. Indahnya dunia.

END

No comments:

Post a Comment