Friday, October 19, 2012

DUA KALI CINTA, 4


BAB 4

Hari ini Sarah ditugaskan untuk pergi ke majlis pecah tanah hotel baru di Meru Jaya pukul 11 pagi. Juru gambarnya pula Safwan Adli. Sudah menjadi kebiasaan antara mereka sekiranya ditugaskan untuk assigment yang sama untuk pergi bersama-sama.

Apatah lagi apabila mengenangkan Sarah yang terkenal dengan jolokan ratu sesat antara rakan media yang lain. Sememangnya wanita itu mempunyai masalah dalam mengingat jalan walaupun tempat itu sudah dua kali dikunjungi.

Tidak mahu mengambil risiko lambat ke tempat assigment, mereka bergerak 30 minit awal. Sarah sedikit lega kerana Safwan tahu lokasi majlis pecah tanah tersebut.

Sepanjang perjalanan mereka hanya diam membisu. Sesekali Safwan menyanyi perlahan mengikut rentak lagu yang diputarkan di radio kereta. Sesekali dia menguap dan mengeluh malas. Ah itu memang tabiat dia. Semalam pergi jamming dengan kawan-kawanlah tu.

"Pergi jamming ke semalam? Soal Sarah memulakan bicara. Sungguh dia tidak betah terus membatu dan membiarkan suasana sepi wujud antara mereka. Rasa sungguh janggal.

"Erm," Itu sahaja yang dibalas Safwan, Eh mamat ni kenapa, kena sampuk dek hantu ke apa. Orang tanya dia boleh jawab sepatah sahaja. Takpa, kita cuba sekali lagi.

"Jamming dengan siapa?" Soal Sarah lagi bagi memancing bicara Safwan. Namun jawapannya tetap sama.

"Dengan kawan,". Aduhai ayat. Sarah sudah membuang pandangan ke luar tingkap.

Malas untuk terus membuka bicara. Matanya dipejam seakan tidur walhal dia sudah terlebih tidur semalam.

Dia lebih rela mengira kenderaan yang lalu di atas jalan raya daripada terus melayan angin puting beliung si Safwan ni. Kau nak merajuk tak tentu fasal ya. Meh sini aku ajar cara yang terbaik.

Sebaik sampai di lokasi, Sarah terus keluar dari kereta tanpa menunggu Safwan seperti selalu. Pada kebiasaannya, mereka akan berjalan seiringan dan kadang kala Sarah akan membawa beg kameranya yang berat itu jika lelaki itu pura-pura malas.

Tetapi hari ini Sarah mengorak langkah dahulu. Ditinggalkan Safwan di belakang walaupun dia tahu bahawa lelaki itu sedikitpun tidak mengejarnya untuk menyamakan rentak perjalanan.

Kau ni kenapa kawan. Safwan yang buat perangai, kau yang nak merajuk bagai?. Monolognya sendiri di dalam hati.

Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang, seakan sesak nafas seketika dan debaran itu semakin kuat. DIa berhenti seketika sambil mengurut dada. Nafas dihela perlahan. Dia membongkok sedikit sambil menampar lembut dadanya.

'Kenapa dengan aku ni? Tiba-tiba rasa berdebar tak tentu fasal. Rasa macam tak sedap hati,' getus hati kecilnya.

Sewaktu dia ingin memulakan langkah, Safwan menghampiri dan dengan riak wajah penuh kerisauan dia memaut lengan wanita itu. Membawa Sarah ke sisinya.

Sarah tergamam seketika. Kejap sungguh pegangannya sehingga dia dapat rasa lengannya sakit dicengkam tangan sasa lelaki berusia 27 tahun itu.

"Awak lepaslah. Tak manis orang tengok," rayu Sarah perlahan sambil sempat melemparkan senyuman kepada rakan-rakan yang sudah mula berbisik.

"Daripada awak jatuh atau pengsan, lebih baik sakit saya pegang," katanya kasar. Safwan meneruskan perjalanannya menuju ke meja pendaftaran media.

Tangan kirinya masih kekal di lengan Sarah. Sewaktu Safwan tekun menulis nama di buku pendaftaran, Sarah melilau memerhati sekeliling. Meninjau rakan-rakan yang tersedia tersenyum. Mula nak mengusikla tu. Jadi lauk la aku hari ini.

"Dah, jom. Saya dah tulis nama awak sekali," ujarnya masih terus mengheret Sarah ke tempat duduk media. Dia menghela nafas panjang. Cuba mentafsir berkali-kali relevennya tindakan Safwan.

"Kenapa dengan Safwan tu Sarah?," Soal wanita yang dipanggil Kak Su, wartawan daripada RTM.

"Entah kak. Waktu on the way ke sini lagi dia senyap saja. Lagaknya macam marah saja tapi saya takda buat salah apa dengan dia lagipun semalam saya offday memang takda jumpa dia pun nak bergaduh," terang Sarah kepada Kak Su.

Safwan sudah mengambil tempat bersama rakan-rakan jurugambar dari media lain. Waktu yang berbaki sedikit itu digunakan untuk meneliti siaran akhbar yang disertakan bersama tentatif program.

"Awak dengan Safwan ni ada apa-apa ke?" Bagaikan nak tersedak Sarah dibuat dek pertanyaan Kak Su. Dia memandang wajah wanita itu tanpa berkedip.

Akhirnya ketawa Sarah meletus.

"Takdalah kak. Kami kawan je,". Alahai ni baru seorang yang bertanya. Belum rakan-rakan yang lain. Takpa Sarah, kita bagi jawapan stareotaip. Biar konsisten sepanjang masa. Haha..

Dia kembali meneliti kertas kenyataan akhbar yang ada ditangannya sekali lagi. Namun sejujurnya fikiran melayang entah ke mana. Memikirkan perihal Safwan dan pertanyaan Kak Su serta Mimi.

Lamunan terhenti apabila pengacara majlis memulakan acara dengan menjemput Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Starlight Development, Datuk Bakri Abdullah untuk memberi ucapan aluan.

Starlight Development merupakan sebuah syarikat bumiputera yang terkenal dalam bidang perhotelan. Kumpulan berkenaan mempunyai beberapa rangkaian hotel di Kuala Lumpur malah masing-masing sebuah di Johor, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Majlis pecah tanah kali ini merupakan pembinaan bangunan hotel ke dua mereka di Perak. Bangunan setinggi 20 tingkat itu dijangka siap sepenuhnya penghujung 2014 dan akan melalui beberapa fasa pembinaan.

Majlisnya cukup ringkas dan pantas. Usai ucapan perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Osman, para media dibawa melawat tapak projek sebelum memulakan sesi sidang akhbar.

Pada sesi sidang akhbar tersebut, wakil media diperkenalkan dengan barisan Ahli Lembaga Pengarah syarikat dan pengarah anak syarikat yang akan bekerjasama dalam merealisasikan projek hotel tersebut.

Seperti biasa, sidang akhbar berlangsung kira-kira setengah jam dalam suasana yang cukup santai. Itu permintaan Datuk Bakri sendiri yang mahukan suasana santai dan tidak terlalu formal.

Usai sidang akhbar, para media dijemput untuk menghadiri jamuan makan tengah hari yang disediakan pihak penganjur. Sarah mengambil tempat di sebelah Aida, wartawan Sinar Harian manakala Safwan duduk disebelahnya.

Sedang dia menyenduk nasi ke dalam pinggan, meja mereka didatangi seorang lelaki lengkap memakai suit hitam berkemeja putih. Dia menyapa dan memohon maaf atas kelewatannya untuk sampai ke majlis tersebut atas urusan lain.

Sebaik mendengar bicaranya, Sarah menoleh ke arahnya dan tanpa sedar sudu yang berisi seketuk ayam masak merah terlepas daripada gengaman. Nafasnya sudah turun naik. Mukanya sudah pucat lesi.

Degupan jantung juga tidak perlu dibicarakan lagi. Ibarat ingin melompat keluar. Betul atau khayalan atau mainan perasaan. Sarah tidak berhenti bermonolog sendiri.

Mata Sarah masih tertancap pada raut wajah lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Firul, pengurus bahagian perancangan dan pemasaran Syarikat Starlight Development.

'Senyumannya, wajahnya dan tutur bicaranya saling tak tumpah seperti dia,' gumam Sarah sendiri.

Aida mengiku lengannya. Baru dia tersedar dan kala itu Firul sudah menghilang daripada pandangan. Safwan terus menyenduk lauk ayam masak merah yang lain ke pinggan yang masih tidak berisi lauk itu.

Dia sekadar melihat tindakan lelaki itu. Otaknya kosong kala itu. Safwan kemudian menyenduk kuah dalca pula dan mengarahkannya supaya segera makan kerana dia mempunyai tugasan lain selepas ini.

Sarah hanya menuruti tanpa membantah. Lauk ayam masak merah yang jatuh tadi dikutip lalu diletakkan di atas pinggan pengalas sudu dan garpu. Kesan minyak kuah sambal itu sedikit terpalit pada lengan baju kemeja yang dipakainya.

"Sarah okey tak?" Sapa Kak Su sambil rakan-rakan yang lain menumpukan perhatian kearahnya. Dia sekadar mengangguk tanpa bicara.

Tidak berhenti di situ, Dalam pada itu dia tetap melilau mencari kelibat Firul namun tidak kelihatan di ruang makan. Dia kemudiannya terus bangun untuk mencari di luar dewan namun Safwan sudah berdiri tegak dihadapannya.

"Jom balik," arahnya pendek. Dia lantas mengambil goodies bag dan beg tangan Sarah sebelum menyuruh agar rakannya itu berjalan di depannya.

Sebelum pergi meninggalkan majlis tersebut, Sarah sempat bersalaman dengan rakan-rakan yang lain tanda mengucap selamat tinggal.

"Kenapa dengan budak berdua tu?," itu suara Aida. Biarpun agak perlahan namun Sarah dapat mendengarnya dengan jelas.

"Entah," jawab Kak Su pula.

End

No comments:

Post a Comment