Thursday, December 20, 2012

DUA KALI CINTA, 11

BAB 11

Mesyuarat kelab xplorasi yang dibatalkan minggu lalu diadakan hari ini dan lebih tepat malam ini. Seawal pukul 8 malam, bilik yang boleh memuatkan 50 orang dalam satu-satu masa itu sudah bising dengan gelak tawa.

Dari khabar angin ahli kelab yang lain, mesyuarat malam ini akan membincangkan mengenai percutian di Pulau Sibu, Johor hujung bulan nanti.

Kelab Xplorasi mendapat jemputan khas daripada Pelancongan Johor untuk menginap di resort berkenaan dan merasai pengalaman di salah satu pulau yang terkenal dengan keindahan hidupan lautnya.

Sarah berlari-lari anak mendaki anak tangga menuju ke rumah kelab. Sesekali dia melambatkan pergerakan kerana kepenatan. Mengah, kata orang Perak.

Setibanya dia di muka pintu, Safwan dan Mirul tidak sengaja menyambutnya dengan balingan bola ke arahnya tepat mengenai muka sehingga senget cermin mata.

"Sakitlah sengal. Korang ni nak sambut aku tak reti nak bagi salam ke? Sakit faham tak...S.A.K.I.T," Sarah sudah memuntahkan amarahnya. Perkataan sakit dieja kuat menandakan dia benar-benar sakit.

Safwan terus mendapatkan wanita yang sedang mencekak pinggang itu. Sarah ni kalau nak tahu memang ada tabiat buruk, suka cekak pinggang bila tengah marah.

So sekarang ni, memang konferm dia tengah marah sebab dia sudah cekak pinggang. Safwan berdiri betul-betul di depan Sarah. Dia mendekatkan mukanya dengan muka Sarah.

Peluang yang ada ini digunakan sepenuhnya untuk meneliti setiap inci wajah wanita yang sememangnya sudah lama menghuni hatinya. Cuma dia sahaja yang belum berani untuk berterus terang.

Terlalu terkejut dengan tindakan Safwan, Sarah terus mengundurkan diri setapak ke belakang. Tanpa dia sedar, dia terpijak kaki seseorang. Dia hanya menyedari apabila suara nyaring seorang wanita melengking.

Terus Sarah dan Safwan berpaling. Anuar, Presiden Kelab Xplorasi terkocoh-kocoh bertanya sesuatu kepada wanita tadi.

Alah, terpijak sikit je kaki dia. Nasib baik aku tak pakai kasut tumit tinggi, kalau tak mahu tembus kaki minah ni kena pijak, Sarah ketawa perlahan.

"Sorry," ucap Sarah dan Safwan serentak. Wanita itu hanya menghadiahkan jelingan tajam ke arah mereka. Eh, minah ni, kang tak pasal-pasal ada yang kena korek biji mata ni.

"Sudah mainnya. Jom kita start meeting. Elina, Firul, jemput masuk ke rumah kelab kami," ucap Anuar lembut. Eh, Firul?

Mendengar sahaja nama Firul, Sarah terus berpaling. Apa hal mamat ni buat kat sini, takkan nak bagi press confren fasal kejadian minggu lalu pula, gumam Sarah.

"Yang kau tercegat kat pintu tu kenapa? Dahlah besar, penuh satu pintu ni, macam mana diorang nak masuk," Anuar ni agaknya dah lama makan nasi kot, kang aku pijak ada yang makan bubur pulak.

Sarah berlalu namun sempat menghadiahkan pukulan sulungnya di bahu Anuar. Lelaki sebaya dengannya itu mengaduh kuat namun terus ketawa melihat muka ketat Sarah.

"Jangan nak sentap sangatlah perempuan. Aku cium nanti baru tahu," canda Anuar lagi sebelum berlalu membawa masuk dua tetamu istimewa mereka. Huh, istimewalah sangat.

Mesyuarat hari ini dihadiri kira-kira 30 ahli. Selebihnya tidak dapat hadir kerana tuntutan kerja dan urusan yang tidak dapat dielakkan. Seperti yang dijangka, mesyuarat akan berkisar mengenai percuti di Pulau Sibu, Johor.

Malah, mesyuarat mereka dibuka dengan pengumuman kemasukan dua ahli baru iaitu Encik Firul dan Intan Elina yang merupakan Pegawai Perhubungan Awam bagi Syarikat Starlight Development.

Hasil daripada mesyuarat yang berlangsung dua jam itu adalah mereka yang berminat boleh mendaftar di Facebook kelab dengan bayaran sebanyak RM100 bagi kos pengangkutan dan keperluan kecemasan.

"Aku nak pergi," teriak Mirul kemudian diikuti dengan Azrin dan Riqki. Safwan pula merapatkan tubuhnya ke sisi Sarah sebelum berbisik sesuatu.

Firul yang dari tadi memerhatikan mereka terus membulatkan mata apabila Sarah tanpa segan silu menarik telinga Safwan, lelaki yang baru dua kali dijumpainya.

Terus semua mata terarah kepada mereka. Laungan Anuar terus mematikan hasrat Sarah untuk memukul bahu sahabatnya itu. Kacau daunlah Anuar ni.

"Ishk korang ni, jangan sampai aku panggil tok kadi nikahkan korang kat sini hari ni. Kalau ya pun bercinta, cover-coverlah sikit, kitakan tengah meeting ni," tegur Anuar tanpa berselindung.

"Takda sapa mau kat budak tak bersivik ni aih. Aku rela bersanding dengan tong gas daripada kahwin dengan mamat tak cukup akal ni," ucap Sarah bersahaja.

Laju sahaja tangannya mencubit lengan Safwan. Lelaki itu terus membuntangkan mata tanda terkejut dan sakit.

"Ni awaklah punya fasal. Alih-alih saya yang kene marah. Ada hati nak dating dengan saya kat pulau. Ingat ni cerita Panggilan Pulau ke," bisik Sarah sambil memuncungkan bibir tanda merajuk.

Safwan terus mengusik dengan menarik hujung tudung bawal Sarah sehingga senget. Miza yang melihat tindakan Safwan terus menolak pipi lelaki itu sehingga tersembam mencium meja.

Seisi bilik mesyuarat ketawa melihat perilaku Safwan. Miza dan Sarah saling berbalas pandangan sambil mengukir senyuman tanda puas dapat mengenakan lelaki itu. Padan muka kau, Wan!.

"Sudah tu. Tak pasal-pasal kita meeting sampai pagi esok pulak. Okey, semua setuju dengan cadangan tadi boleh terus daftar kat FB dan pembayaran boleh dibuat bermula minggu depan.

"Tempat terhad ya sebab kita pun orang yang jemput. Kalau yang lambat tapi nak pergi juga boleh booking sendiri dan kosnya sendirian berhad jugaklah ya," kata Anuar sebelum menutup mesyuarat.

"Bang, karipap takda ke? Selalu meeting ada makan-makan. Malam ni kosong je," Azrin buat muka poyo sambil meletakkan kepalanya di atas meja. Semua yang mendengar ketawa.

"Malam ni takde karipap, kita makan supper kat luar, Firul nak belanja kita semua tanda salam perkenalan katanya. Kita jumpa kat kedai Selera Pantai Timur kat taman sebelah," balas Anuar sebelum meninggalkan bilik mesyuarat bersama Intan Elina dan Firul.

"Awak jom makan. Kedai kegemaran awak tu," Ajak Safwan ketika beriringan dengan Sarah keluar dari bilik gerakan tersebut. Sarah mengerling jam di tangan, sudah pukul 11.

Namun apabila teringatkan nasi goreng cilipadi restoran berkenaan, terus kecur liur dibuatnya dan dengan pantas dia bersetuju dengan pelawaan Safwan. Mereka menuju ke kereta masing-masing dan berjanji untuk bertemu di sana sahaja.

Sambil memandu, Sarah menekan punat telefon bimbitnya mencari nama Mimi. punat berwarna hijau ditekan dan tidak perlu menunggu lama, Mimi sudah menjawab panggilan.

"Mi, aku balik lambat sikit ya. Tadi ada mesyuarat sekarang ni kami nak pergi makan. Kau jangan tutup lampu ruang tamu ya," pesan Sarah kepada teman serumahnya itu.

"Yalah. Hati-hati memandu," Ucap Mimi sebelum menamatkan perbualan. Tak habis-habis dengan penakutnya si Sarah ni. Yang peliknya, dia takut gelap tapi bila tidur tak suka pasang lampu pula, cukup sekadar diterangi cahaya daripada lampu jalan.

No comments:

Post a Comment